PENGENALAN
Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu
untuk membangunkan sistem pendidikan
yang berkualiti bertaraf dunia agar generasi yang dilahirkan kelak mampu untuk
bersaing dengan persaingan yang sengit dalam era globalisasi pada masa kini.
Namun begitu, bagi merealisasikan misi tersebut guru perlulah memainkan peranan
utama sebagai pelaksana di peringkat sekolah tidak kira sama ada sekolah rendah
ataupun sekolah menengah. Dalam pelaksana di peringkat sekolah berkenaan aspek
pengurusan bilik darjah merupakan salah satu elemen yang utama bagi melahirkan
insan-insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta boleh bersaing dalam
era globalisasi jika pengurusan bilik darjah dapat diurus dengan cemerlang dan
sistematik dengan kerjasama guru dan murid berkenaan.
Di sekolah bilik darjah merupakan sebuah
organisasi yang kecil. Oleh itu, pengurusan bilik darjah yang baik, sistematik
dan kondusif mampu untuk meningkatkan keupayaan murid untuk belajar serta dapat
menguruskan permasalahan disiplin di
sekolah. Dalam pada itu, kebiasaannya pelajar-pelajar di sekolah yang mempunyai
tingkah laku yang aktif dan cepat bosan dengan persekitaran yang pasif dan
statik. Hal ini menyebabkan para pelajar melakukan pelbagai masalah disiplin
seperti ponteng kelas, tidur, tidak menyiapkan kerja sekolah, bertindak ganas,
tidak menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang di ajar, suka membantah,
menunjuk-nunjuk dan melawan guru. Masalah- masalah disiplin yang timbul
ini berpunca daripada gaya pengajaran
guru yang membosankan dari awal tahun hingga ke hujung persekolahan.
Oleh yang demikian,
guru-guru perlulah mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas
harian mereka di sekolah. Mereka perlu menjadi seorang yang pakar dalam subjek
yang diajar, dan juga mesti mempunyai kemahiran mengawal tingkah laku pelajar
yang disruptif di bilik darjah agar proses pembelajaran dan pengajaran berjalan
lancar.
KONSEP PENGURUSAN BILIK DARJAH
Terdapat ramai pendidik atau guru yang
mengaitkan pengurusan bilik darjah dengan kaedah-kaedah untuk menangani masalah
disiplin di dalam bilik darjah. Ia juga sering dilihat sebagai sesuatu yang
guru perlu lakukan sebelum pengajaran
sebenar bermula. Aktiviti seterusnya dalam pengajaran dan pembelajaran
ditafsirkan sebagai sesuatu aspek yang berasingan. Ia seolah-olah guru perlu
melaksanakan pengurusan bilik darjah terlebih dahulu dan selepas itu barulah
memulakan pengajaran. Tetapi kini pandangan seperti ini sudah mula berubah dengan adanya kajian yang
menunjukkan bahawa pengurusan bilik dan pengajaran bukanlah dua aspek
berasingan tetapi saling berkait rapat. Kajian juga menunjukkan bahawa pengurusan
yang berkesan menyumbang kepada
pencapaian akademik yang lebih tinggi. Hal ini sememangnya jelas kerana
murid tidak boleh belajar dalam keadaan yang tidak teratur. Pengurusan bilik
darjah juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi, tahap
penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tingkah laku
dan sikap murid di dalam bilik darjah.
Namun begitu, bilik darjah adalah merupakan tempat berlakunya
proses pengajaran dan pembelajaran dan perkataan dinamik pula membawa maksud
bertenaga atau daya fizikal yang mampu menggerakkan sesuatu. Oleh itu sebuah
bilik darjah yang dinamik boleh ditakrifkan sebagai bilik darjah yang bertenaga
dan mampu menggerakkan organisasinya untuk menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran (P & P) secara formal dengan penuh minat, memberangsangkan,
aktif dan mencapai objektif. Perkataan pendidik adalah dirujuk sebagai orang
yang menjaga, memelihara, membimbing dan mengajar perkara baik-baik. Dalam
konteks bilik darjah, pendidik ialah guru yang mengajar di dalam bilik darjah.
Pengurusan pula ialah melibatkan penggubalan dan perancangan, melaksanakan
perancangan dan bekerjasama secara berkesan dengan orang lain untuk melakukan
perkara yang betul sehingga mencapai matlamat (PPK, 2001). Manakala, Menurut
perspektif Islam pula, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan
kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah
bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dengan
menggunakan sumber-sumber organisasi yang cekap dalam persekitaran yang dinamik
dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai
al-falah di dunia dan di akhirat.
Oleh itu, pengurusan bilik darjah yang dinamik
merupakan satu proses untuk melaksanakan perancangan P & P yang aktif,
memberangsangkan, menyeronokkan dan menarik minat pelajar untuk belajar
sehingga mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia iaitu melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan
dan sejahtera.
DEFINISI PENGAJARAN
Pengajaran merupakan suatu aktiviti atau proses
yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu yang
meliputi perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan
dan penilaian. Namun begitu, proses pengajaran boleh ditakrifkan sebagai
sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya.
Pengajaran ini perlu dirancang oleh guru secara sistematik dan teliti untuk
melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai bagi, membimbing,
memberi galakkan dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk
belajar demi memperoleh ilmu dan kemahiran.
Selain itu, pengajaran juga merupakan aktiviti
intelek yang melibatkan pemikiran, perasaan, dan penilaian. Pengajaran juga
merupakan satu sistem aktiviti yang ditujukan kepada pelajar-pelajar dengan
harapan akan membawa perubahan tingkah di kalangan mereka. Terdapat dua jenis
pengajaran iaitu pengajaran terkini dan tradisional. Proses pengajaran pada
abad ke 21 ini adalah lebih berpusatkan kepada murid yang bersesuaian dengan
era globalisasi yang menuntut perubahan dalam setiap aspek termasuklah dalam
bidang pendidikan. Oleh itu, dalam perancangan pengajaran, pendekatan, kaedah,
teknik dan alat serta sumber yang digunakan haruslah bersesuaian dengan tahap
kebolehan pelajar zaman sekarang bagi memastikan objektif dan matlamat
pengajaran dapat dicapai dengan jayanya.
Hal Ini kerana, bagi melahirkan insan yang
berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara bertepatan dengan
falsafah Pendidikan Kebangsaan. Berbanding dengan pengajaran tradisional, yang
lebih berpusatkan pengajaran kepada guru.
Pada masa ini guru banyak memberikan input serta ilmu tanpa memberi
ruang kepada pelajar untuk berfikir dan melibatkan secara aktif. Selain itu,
komunikasi satu hala yang dilaksanakan oleh guru tidak bersesuaian memandangkan
pengetahuan serta pengalaman pelajar yang tidak dapat dikembangkan dengan baik
kerana pelajar tidak berpeluang untuk berfikir secara kreatif. Pelajar
merupakan pembina ilmu yang aktif. Oleh itu, penglibatan pelajar di dalam
satu-satu pengajaran adalah penting bagi membantu penerapan nilai-nilai murni
di dalam diri pelajar itu sendiri bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran secara efektif.
DEFINISI PEMBELAJARAN
Pembelajaran adalah merujuk kepada perubahan
dalam tingkah laku subjek atau tingkah laku yang berpotensi dalam sesuatu
situasi yang diwujudkan oleh pengalaman-pengalaman berulang subjek dalam
situasi tersebut. Dari sudut kognitif,
pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan tingkah laku yang segera. Perubahan
struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan skema, kepercayaan, jangkaan
dan matlamat. Proses pembelajaran yang
berlaku secara berterusan akan membawa perubahan tingkah laku.
Contohnya, seseorang murid akan mula menguasai
kemahiran membaca setelah proses pembelajaran
berlaku secara berulang-ulang dan berterusan. Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu
fakta akan mudah dikuasai apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai alat
bantu mengajar sebagai bahan rangsangan seperti gambar rajah, jadual, carta,
gambar dan sebagainya. Oleh itu, alat bantu yang memudahkan murid-murid
menghubungkaitkan maklumat.
Pembelajaran biasanya terjadi dalam situasi
formal iaitu antara guru dan para pelajar dalam usahanya untuk menyampaikan
ilmu berdasarkan kurikulum dan tujuan yang hendak dicapai. Melalui
pembelajaran, pelajar dapat melakukan proses belajar sesuai dengan rancangan
pengajaran yang telah ditetapkan. Seseorang guru haruslah mengadakan
perancangan awal untuk menyesuaikan isi pengajaran dan pembelajaran sesuai
dengan kebolehan pelajar. Maka konsep belajar dan pembelajaran merupakan dua
kegiatan yang berproses dalam suatu sistem.
Setelah guru selesai menyempurnakan proses
pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memperuntukkan masa membuat refleksi
terhadap pelaksanaan pengajarannya. Langkah ini adalah penting untuk mengkaji
keberkesanan pengajaran guru dalam aspek pemilihan strategi pengajaran,
penggunaan alat bantu mengajar, maklumat
dan bahan rujukan, tahap pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi antara
guru dan pelajar.
Kesimpulannya, komitmen guru yang tinggi dan
ditambah pula dengan kemahiran perguruan akan mewujudkan suasana pembelajaran
yang sentiasa bersemangat. Penyelidikan yang dijalankan pula akan menghasilkan
idea-idea baru untuk menjadikan sesi pengajaran pembelajaran lebih menarik
minat pelajar.
PERANAN GURU SEBAGAI PENGURUS BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang penting dalam melaksanakan sesuatu
pengajaran. Seorang guru itu perlu tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan
peralatan yang ada dalam bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar dalam bilik
darjah dan mengawalnya supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan
dengan lancar. Namun ada sebilangan guru yang lebih menekankan disiplin dalam kelas dan ada juga
yang menekankan suasana bilik darjah yang kondusif bagi memastikan pelajar
selesa serta mewujudkan hubungan dua hala yang baik antara guru dan juga
pelajar. Oleh yang demikian, terdapat beberapa peranan yang perlu dilakukan
oleh guru sebagai pengurus bilik darjah iaitu merancang, mengelola, mengarah
dan mengawal.
Guru Sebagai Perancang.
Kejayaan guru sebagai tenaga pengajar
bergantung kepada perancangan mengajarnya. Sebelum memasuki bilik darjah,
sebagai seorang guru yang aktif perlulah menyediakan persiapan mengajar supaya
pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancer.
Sebagai seorang guru, perlulah merancang pembelajarannya secara sistematik
sebelum memasuki ke bilik darjah.
Perancangan pembelajaran yang dibuat oleh guru perlu menimbangkan tentang
objektif pelajaran, isi pengajaran, bahan-bahan pembelajaran dan pengurusan
kemudahan. Kemahiran merancang merupakan prasyarat untuk mencapai objektif
pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi menjamin kejayaan bagi proses tersebut.
Objektif
pelajaran haruslah ditentukan semasa membuat perancangan pembelajaran.
Penentuan objektif pelajaran haruslah berdasarkan kepada sasaran sukatan
pelajaran, pengetahuan sedia ada murid dan kebolehan mereka. Objektif pelajaran
biasanya disediakan berdasarkan prinsip tingkah laku, iaitu perubahan tingkah
laku murid dapat dikesan secara eksplisit selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran telah selesai dijalankan. Pemilihan isi pelajaran yang telah
dipilih untuk disampaikan hendaklah boleh membantu murid- murid mencapai
objektif pelajaran mereka.
Pemilihan strategi dan kaedah mengajar pula berkait rapat dengan
pencapaian objektif pelajaran. Strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai
membolehkan guru merancang isi pelajaran secara sistematik dan menarik,
memastikan murid-murid mencapai objektif pelajaran yang dikehendaki. Aktiviti
merancang pengajaran jaga meliputi usaha memilih dan menyediakan bahan-bahan
pelajaran untuk digunakan oleh guru atau murid-muridnya. Dengan adanya
bahan-bahan pengajaran ini, aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi
menarik , lebih bermakna dan lebih berkesan.
Contohnya, guru haruslah menyelitkan unsure lelucon dalam pengajarannya.
Teknik ini bagi memastikan para pelajar tidak merasa bosan dengan pengajaran
yang berterusan tanpa sebarang aktiviti. Antara aktiviti yang boleh dilakukan
ialah dengan melibatkan pelajar dalam forum sesama rakan sekelas dan juga
mengadakan kuiz. Melalui cara ini, guru bukan sahaja dapat mengesan kekuatan
dan kelemahan pelajar tetapi dapat meningkatkan daya faham mereka terhadap apa
yang telah dipelajari. Guru juga dapat membuat refleksi terhadap pengajarannya
sekali gus berpeluang meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Kerja
merancang pengajaran pula meliputi pengurusan kemudahan. Kemudahan dalam bilik
darjah, misalnya menyusun kerusi dan meja dalam bentuk yang sesuai dengan
strategi dan kaedah mengajar dalam sesuatu pelajaran. Nordin Tahir (IPIP, 2014)
menggariskan beberapa ciri kemahiran merancang seperti berikut :
i. Pengajaran efektif mempunyai objektif
pelajaran eksplisit yang di tentu
berdasarkan sukatan pelajaran serta
kebolehan murid-murid.
ii. Isi pelajaran dalam rancangan mengajar
disusun dari mudah ke kompleks, bermakna, relevan dan menarik.
iii. Rancangan mengajar harus memasukkan penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM).
iv. Utamakan pendekatan berpusatkan murid.
v. Rancangan mengajar harus disusun mengikut
langkah yang lengkap.
vi. Strategi / kaedah mengajar harus dapat
meningkatkan keberkesanan proses
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).
Perlakuan mengajar guru dalam segala proses perancangan adalah penting
dari segi pencapaian objektif pelajaran yang ditentukan. Sekiranya perancangan
guru adalah sesuai dan sistematik, ia akan melicinkan proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang positif bagi mencapai objektif pelajaran yang
diharapkan.
PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI DALAM
BILIK DARJAH
Mengelola Dalam Bilik Darjah
Setiap guru mempunyai tanggungjawab dalam
menjalankan peranan sebagai pengurus dalam bilik darjah. Antara tugas guru ialah
mengelola. Seorang guru haruslah mengelola setiap perkara yang berlaku dalam
kelas. Antaranya ialah, guru harus mengurus rutin bilik darjah. Mengurus bilik
darjah ini merangkumi pelbagai aspek iaitu menyedia, mentafsir, dan menyimpan
rekod pelajar. Sebagai seorang guru kelas, guru harus mempunyai segala rekod
mengenai pelajar-pelajarnya seperti rekod kesihatan, rekod keputusan dan
sebagainya. Segala rekod ini pada masa ini disimpan dalam bentuk e-rekod iaitu
dalam sistem internet.
Selain itu, guru juga harus mengambil kira
kedatangan kelas dan juga memastikan pelajar yang tidak hadir memberikan sebab
mengapa tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut. Guru juga harus menyimpan
rekod peribadi murid iaitu kad001 dan juga kad002 dimana kad ini merangkumi
segala maklumat peribadi murid. Guru kelas juga harus menyimpan rekod yuran
kelas. Rekod yuran merangkumi yuran sekolah dan juga yuran harian yang dibayar
oleh murid untuk kegunaan kelas.
Guru juga harus mengurus segala aktiviti murid.
Guru harus memastikan aktiviti yang disediakan untuk murid bersesuaian dengan
mereka. Guru harus memastikan murid mendapat kebenaran daripada ibu bapa untuk
mengikuti aktiviti yang dijalankan di sekolah. Guru juga harus memastikan
segala aktiviti mengikut segala aspek keselamatan untuk murid. Guru juga
berperanan mengurus bahan-bahan pelajaran mengikut sukatan pelajaran. Guru juga
harus memastikan disiplin kelas sentiasa dalam keadaan yang terkawal. Selain
itu, guru juga harus memastikan pelajar tidak membawa barang larangan ke
sekolah seperti rokok dan telefon bimbit dan sebagainya.
Guru juga berperanan dalam mengurus keadaan
fizikal dan kemudahan dalam kelas. Guru harus memastikan kemudahan dalam kelas
seperti kerusi dan meja. Kemudahan lain seperti papan putih dan juga papan
maklumat butiran juga harus lengkap di dalam kelas. Guru harus memastikan tiada
sebarang kerosakan di dalam kelas untuk memastikan tiada kemalangan berlaku.
Mengawal Bilik Darjah
Guru juga berperanan dalam mengawal bilik
darjah. Guru harus mengawal peraturan-peraturan bilik darjah. Contohnya ialah
guru mengawal pergaulan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan di dalam
kelas. Guru harus memastikan tiada sebarang perkara yang tidak bermoral berlaku
di dalam kelas. Guru juga harus mengawal segala aktiviti berkumpulan. Aktiviti berkumpulan
yang dijalankan haruslah berada di dalam kumpulan yang sesuai dengan aktiviti
yang dijalankan. Guru harus memastikan aktiviti kumpulan berjalan dengan lancar
tanpa sebarang gangguan.
Guru juga harus mengawal masalah peribadi yang
dialami oleh pelajar mereka. Hal ini kerana guru harus memastikan pelajar yang
bermasalah tidak terbawa-bawa ke sekolah. Guru harus memastikan tumpuan
pelajarnya tidak terganggu semasa proses pembelajaran berlaku yang disebabkan
oleh masalah peribadi. Guru juga harus memastikan masalah disiplin tidak timbul
dalam kelas, terutamanya dalam kalangan pelajar lelaki seperti masalah
pergaduhan dan juga masalah buli. Guru juga mestilah memastikan kes-kes
disiplin lain seperti kes mencabul tidak berlaku dalam kelas.
Guru juga harus memastikan pengajaran dan
pembelajaran boleh dijalankan tanpa gangguan, seperti pelajar bising dalam
kelas. Guru harus memastikan kelas berada dalam keadaan yang senyap supaya
proses pembelajaran boleh berlaku dalam keadaan yang senyap. Guru juga harus
memastikan pelajar memberi tumpuan dalam kelas dan tidak membuat perkara yang
boleh menyebabkan proses pembelajaran terganggu.
Mengarah Dalam Bilik Darjah
Guru juga harus mengarahkan murid-muridnya
untuk membentuk kumpulan bagi membuat aktiviti berkumpulan. Contoh bentuk
kumpulan yang boleh dibentuk ialah melalui “round table” iaitu salah satu cara
aktiviti kumpulan yang sangat berkesan. Guru harus setiap kumpulan mempunyai
ahli kumpulan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan jantina. Guru juga
harus memastikan aktiviti kumpulan berjalan dengan lancar dan tidak berlaku sebarang
masalah.
Guru juga mengarah murid menguruskan tugasan
harian dalam bilik darjah. Guru harus memastikan segala tugasan harian
dijalankan dengan baik dan teratur. Segala tugasan harian harus dijalankan
dengan mengikuti jadual bertugas. Guru harus memastikan setiap tugas yang
diberikan kepada pelajar diikuti oleh setiap pelajar dan juga memastikan setiap
pelajar bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing. Guru juga harus
memastikan pelajar-pelajar mematuhi disiplin bilik darjah yang ditetapkan dalam
kelas. Pelajar tidak dibenarkan merosakkan harta benda dalam kelas. Selain itu,
guru haruslah memastikan pelajar tidak melanggar disiplin seperti menghisap
rokok dalam kelas dan juga melakukan aktiviti yang tidak bermoral dalam kelas.
PENGURUSAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah
proses merancang pengajaran dan pembelajaran agar mencapai matlamat, menentukan
atau memberi garis panduan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh guru,
menentukan mata pelajaran yang diajar guru mengikut kepakaran, memimpin dan
memberi inspirasi kepada guru dan mengawal aktiviti serta memantau pelaksanaan
agar ianya berjalan sebagaimana yang dirancang (Nurlia Mohamad, komunikasi
peribadi, 26 Disember 2012)
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran ini penting kerana ia berperanan
besar dalam meningkatkan prestasi pelajar. Salah satu rasional peningkatan
prestasi pelajar adalah dengan perancangan pengajaran dan pembelajaran yang
tersusun di peringkat pengurusan dan pembelajaran. Selain itu, pengurusan dan
pembelajaran juga berfungsi dalam menentukan penyampaian ilmu iaitu berpandukan
Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan bagi sistem Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Dokumen Standard Sekolah Rendah bagi sistem
KSSR (Md Din Hussein, komunikasi peribadi, 7 Januari 2013). Pengurusan
pengajaran dan pembelajaran ini juga penting untuk mencapai objektif dalam
pengajaran dan pembelajaran. Manakala,
pengurusan pengajaran dan pembelajaran ini juga dapat meningkatkan pengawalan
kelas yang berkesan.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran juga bertanggungjawab dalam
menentukan objektif atau hasil pembelajaran. Secara amnya, objektif pengajaran
dan pembelajaran boleh dianggap sebagai hasil perlakuan pelajar setelah mereka
didedahkan kepada suatu proses pengajaran dan pembelajaran. Objektif pengajaran
dan pembelajaran ini perlulah merangkumi beberapa aspek yang merujuk kepada
sesuatu kurikulum, sebagai contoh Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR),
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM). Pembahagian objektif pengajaran dan pembelajaran adalah
berdasarkan domian kognitif, domain afektif dan domain psikomotor. Manakala
jenis-jenis objektif pula terdiri daripada objektif implisit, objektif
eksplisit dan objektif ekspresif.
Dalam hal yang demikian, pengurusan pengajaran dan pembelajaran ini juga
perlu melibatkan sumber pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan
pembelajaran adalah bahan-bahan
pelajaran yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan-bahan
pelajaran ini boleh terdiri daripada buku teks, buku rujukan, surat khabar dan
alat bantu mengajar seperti kad gambar, model, specimen, carta, projector,
benda-benda maujud,pita rakaman, televisyen, computer dan sebagainya. ( Jaaafar
Atan, komunikasi peribadi, 2013). Persediaan segala alat bantu mengajar ini
mestilah benar-benar dapat menjelaskan butiran pengajaran dan pembelajaran.
Semua alat tersebut perlu disenaraikan bersama dengan bilangan dan kuantitinya.
Ini penting bagi guru untuk merancang aktiviti individu atau kumpulan yang
memerlukan alatan yang mencakupi. Oleh itu, pengurusan pengajaran dan
pembelajaran ini adalah penting bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah berjalan dengan lancar tanpa secara
gangguan.
RUMUSAN
Konkluksinya, pengurusan pengajaran dan
pembelajaran ini melibatkan proses-proses seperti merancang, melaksana, menilai
dan membuat tindakan susulan termasuk penambahbaikan terhadap pengajaran dan
pembelajaran agar dapat memperbaiki segala kelemahan seterusnya dapat
melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.
Seterusnya, ciri-ciri seorang pengurus
pengajaran dan pembelajaran berkesan termasuk prihatin dan peka terhadap
situasi sekeliling selian sistematik dalam merancang dan menilai dan juga penyabar menghadapi kerenah murid pelbagai
latar belakang. Selain itu, mengurus masa dengan baik dan mempunyai kemahiran pengajaran abad ke 21.
Oleh yang demikian, pengurusan dalam
pembelajaran penting merupakan satu elemen yang penting sebelum memulakan
sesuatu pembelajaran agar hasilnya lebih efektif dan menarik selain dapat
melahirkan pelajar yang juga masyarakat yang mampu membangunkan dunia.
No comments:
Post a Comment