SEMASA bersekolah di Sekolah DATO’ ABDUL RAHMAN (SDAR), Seremban,
penulis pernah dinasihatkan oleh seorang guru bahawa hidup ini penuh dengan
cabaran. Selagi kita menghirup udara yang dianugerahkan oleh Allah SWT, selagi
itulah cabaran akan dihadapi. Itu antara nasihat yang tidak pernah penulis
lupakan.
Setiap daripada kita
pasti mendapat pelbagai nasihat daripada guru dan bekas guru masing-masing.
Tiada guru yang tidak mahu anak muridnya berjaya dan berakhlak mulia. Guru yang
baik tidak mungkin mengajar anak-anak muridnya melakukan kemungkaran. Malah, mereka
akan berasa bersalah jika tidak mampu mengubah sikap anak-anak muridnya ke arah
yang lebih baik.
Inilah tanggungjawab
sebenar seorang guru bukan setakat mengajar untuk memiliki sesuatu kemahiran
tetapi juga menggunakan kemahiran tersebut dengan akhlak yang mulia. Bayangkan
jika akhlak mulia ini tidak diajar kepada anak-anak murid, maka akan berlakulah
kesilapan dan kesalahan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa
sahaja.
Malah tidak
keterlaluan, gurulah yang sentiasa mengubah dunia ini agar sentiasa aman,
makmur dan sejahtera. Kebetulan pula, penulis baharu sahaja selesai membaca
buku yang bertajuk, Syarikat Yang Mengubah Dunia, hasil tulisan Jonathan
Mantle.
Buku ini memaparkan
kisah 50 syarikat terkemuka dunia yang mengubah dunia. Tidak ada syarikat yang
berasal dari Malaysia berada dalam senarai 50 syarikat tersebut. Apa yang
pasti syarikat-syarikat Malaysia telah berada di luar negara dengan menjalankan
pelbagai aktiviti perniagaan.
Meskipun boleh
didebatkan mengenai pemilihan 50 syarikat tersebut kerana banyak lagi syarikat
yang hebat-hebat belaka telah wujud sejak dahulu lagi sehingga kini, namun
hakikatnya 50 syarikat tersebut tetap hebat dan sedikit sebanyak telah mengubah
dunia dengan membentuk tingkah laku manusia. Begitu juga, bagaimana
syarikat-syarikat ini mampu berdikari sehingga produk-produk yang dijual berada
di serata dunia. Dengan kata lain, memasyarakatkan produk-produk mereka
sehingga menjadi produk kehidupan harian manusia.
Namun, di sebalik
kejayaan syarikat-syarikat ini yang diketuai oleh pengasas masing-masing,
penulis amat yakin gurulah yang berada di belakang tabir kecemerlangan mereka.
Sama ada mereka itu diajar secara formal atau tidak formal oleh mana-mana guru,
pastinya kejayaan tidak datang bergolek tanpa sokongan dan dorongan seorang
guru. Dengan kata mudah, gurulah sebenarnya yang mengubah mereka menjadi
pengasas kepada syarikat yang mampu mengubah dunia.
Bagi guru yang
mengajar secara formal, pendidikan melalui sekolah diberikan kepada kita
manakala pendidikan yang tidak formal boleh berlaku di mana-mana jua sehingga
seseorang itu menjadi pakar dan hebat. Pendidikan formal itu boleh diteruskan
sehingga ke peringkat menara gading. Ketika ini, meskipun diajar oleh pendidik yang
bergelar pensyarah, namun hakikatnya, mereka ini tetap seorang guru. Bagi
peringkat yang lebih tinggi sehingga ke ijazah kedoktoran, seseorang itu tetap
diajar oleh seorang guru tentang selok-belok menjalankan penyelidikan.
Maka, lahirlah golongan
pakar dan penyelidik di serata dunia yang juga menabur bakti menjadi guru
kepada orang lain sehingga lahirlah begitu ramai pakar dan penyelidik yang
‘beranak-pinak’ di seluruh dunia. Tidakkah ini cukup menggambarkan bahawa guru
berkeupayaan mengubah dunia.
Sebab itulah apabila
ada pihak yang hanya belajar melalui pembacaan semata-mata tanpa berguru dengan
pihak yang memiliki kepakaran, maka dibimbangi ilmu itu tidak difahami
sebetulnya. Tidak mustahil berlaku kesilapan sehingga boleh memudaratkan
masyarakat. Misalnya, seseorang itu membuat tafsiran sendiri melibatkan hukum
agama sedangkan dia tidak cukup mahir dalam bidang agama berkaitan. Maka, boleh
membawa kepada ajaran sesat yang memudaratkan masyarakat.
Malang sekali, ramai
yang berlagak mahir dan pakar meskipun ilmu tidak seberapa. Dalam hal ini, kita
sentiasa diajar sejak dari dahulu lagi agar menghormati orang yang memiliki
kelayakan ilmu dan usah menyanggah jika tidak cukup ilmu. Malah, mendalami ilmu
bukan setakat beberapa hari menghadiri sesi ilmu sehingga berasakan diri sudah
hebat bak bait-bait lagu Amboi, nyanyian Altimet, ‘Tujuh kali pergi usrah sudah
pandai tepis fatwa’.
Sebab itulah
setiap daripada kita memerlukan guru untuk menasihati apa yang wajar dan menegur
apa yang sepatutnya. Sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada kesilapan
meskipun berada di puncak kehebatan. Maka, di sinilah peranan guru yang tidak
pernah mengharapkan sebarang balasan meskipun sedikit cuma. Mereka ini tidak
pernah mengeluh akan beban kerja yang dimiliki.
Tanggungjawab mereka
untuk mendidik anak murid tanpa memilih warna kulit hanya semata-mata untuk
melihat anak murid berjaya kelak. Ini mengingatkan lagi kata-kata seorang guru
semasa di SDAR, ‘Guru itu umpama lilin yang membakar diri semata-mata untuk
menerangi kehidupan orang lain’.
Mungkin ketika itu,
penulis kurang faham akan maksud kata-kata guru tersebut yang cukup dihormati
penulis, namun setelah bergelar guru kepada pelajar dewasa, baharulah
pengertian itu difahami bahawa menjadi guru demi menabur bakti kepada masa
depan sesebuah masyarakat.
KESIMPULANNYA:
Mentoring, bimbingan dan penasihatan merupakan kaedah yang digunakan untuk membantu pelajar dalam pelbagai aspek-aspek pembelajaran dalam kehidupan. ketiga-tiga aspek ini sudah dikenal pasti sebagai suatu strategi untuk membangunkan diri pelajar secara menyeluruh.
No comments:
Post a Comment